Zuraida sah pertahan Ampang
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sah akan mempertahan kerusi Parlimen Ampang yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau antara tujuh pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diumumkan akan bertanding tujuh kerusi Parlimen pada PRU15 ini.
Pada PRU14 lalu, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR, memenangi kerusi Parlimen Ampang atas tiket Pakatan Harapan (PH) sebelum keluar parti ketika ‘Langkah Sheraton’.
Pada PRU kali ini, beliau yang menyandang kerusi Parlimen Ampang selama tiga penggal akan berdepan Rodziah Ismail (PH), Ivone Low Yi Wen (BN), Nurul Ashikin Mabahwi (GTA) dan Sasha Lyna Abdul Latif mewakili Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar sekali lagi bertanding di Parlimen Segamat.
Pada PRU15 lalu, beliau memenangi kerusi tersebut atas tiket PH sebelum bersama Zuraida keluar PKR yang mengakibatkan kerajaan PH tumbang.
Turut disenaraikan sebagai calon PBM ialah Haniza Talha (Hulu Selangor), Dr Daroyah Alwi (Kapar), Datuk Larry Soon @ Larry Sng WeiShien (Julau), Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din (Labuan) serta Alus Kassim (Sekijang).
Untuk rekod, PBM akan bertanding secara bersendirian pada PRU15 dan tidak bergabung dengan mana-mana parti lain. – Malaysiapost