1,386 calon bertanding PRU15 – SPR
SERAMAI 945 calon bertanding di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding 687 calon pada PRU14 lalu.
Jumlah tersebut dipaparkan menerusi laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat jam 5 petang tadi.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon teramai iaitu 206 permohonan yang diterima, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 178 calon; Perikatan Nasional (PN) (149) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertandingkan 116 calon.
Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan 52 calon manakala 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding PRU15.
Turut tersenarai 22 calon PAS yang bertanding di Kelantan dan Terengganu serta 13 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menampilkan enam calon iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Sabah.
Selain itu, seramai 108 calon Bebas bertanding kali ini berbanding hanya 24 pada PRU14, dengan bilangan teramai adalah di Selangor dengan 24 calon, diikuti 20 calon Bebas yang layak bertanding di Sabah.
Selangor bakal menyaksikan calon paling ramai bertanding dalam PRU15 iaitu 124, diikuti Sabah dengan 119 calon dan 100 calon di Perak layak berentap di 71 kawasan Parlimen di ketiga-tiga negeri terbabit.
Sementara itu, 441 calon layak bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri dan DUN Bugaya, Sabah pada PRU15.
DUN Perak menyaksikan bilangan calon teramai dengan 220 diikuti Pahang dengan 150 calon layak bertanding.
Daripada jumlah itu, seramai 117 calon BN layak bertanding, diikuti masing-masing 116 calon PH dan PN. – Malaysiapost