Ahli Umno cabar calon BN atas tiket parti lawan dipecat automatik – Zahid 

Ahli Umno cabar calon BN atas tiket parti lawan dipecat automatik – Zahid 

AHLI dan pemimpin Umno yang bertanding menggunakan tiket parti lawan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan berdepan pemecatan secara automatik, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata tindakan itu turut terpakai kepada ahli Umno yang bertindak menjadi penyokong dan pencadang kepada calon tersebut.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan untuk mengeluarkan satu kenyataan mengenainya.

“Ia berkaitan dengan fasa-fasa tertentu dalam perlembagaan yang dilanggar oleh ahli parti bertanding juga pada PRU ini menentang calon Umno.

“BN dan Umno mempunyai hak untuk memecat mereka secara automatik kerana merupakan langkah biasa kerana kita ikut tatacara etika yang terdapat dalam Umno dan BN,” katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu susulan tindakan pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Datuk Ismail Abdul Mutalib yang sah bertanding kerusi Parlimen di atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 ini. – Malaysiapost

Komen