Anwar bimbang situasi banjir bertambah buruk
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan situasi banjir yang melandakan beberapa kawasan di negara ini.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa untuk meningkatkan tahap pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk terutama di kawasan berisiko terjamin.
“Musim hujan yang sedang melanda kini sangat berisiko kepada penduduk.
“Saya bimbang sekiranya musim hujan akan bertambah buruk dan sistem pemantauan mesti dipergiat agar kita lebih berjaga-jaga dan bersiap dengan segala kemungkinan,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Ramah Mesra Rakyat Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor Ipoh, Perak, malam tadi.
“Adakan pertemuan dengan masyarakat di RPT Chepor malam ini (tadi) usai solat Isyak. Saya dibawa meninjau lokasi banjir di kawasan ini oleh masyarakat setempat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa kawasan termasuk di Perak dan Kedah dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak lewat petang semalam.
Di Perak, seramai 264 mangsa banjir dari sembilan kampung di Taiping dan Batu Kurau, Per dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, empat PPS yang dibuka adalah di Surau Kampung Tengah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Masjid Changkat Ibol dan Masjid Batu 8 Bendang Siam.
Sementara di Kedah, seramai 46 mangsa daripada 16 keluarga masih berada ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Ittafaqiah, Kampung Iboi, Baling pagi ini.
Mangsa dari Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang diarah berpindah ke PPS itu sejak malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air satu meter. – Malaysiapost