Azwan Ali tak jadi lawan abang di Gombak
PENGACARA sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengumumkan menarik diri daripada bertanding kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keputusan untuk menarik diri itu dimaklumkan kepada media selepas kira-kira sejam mengumumkan untuk melawan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi tersebut.
Sebelum ini, Diva AA yang dikatakan akan bertanding calon Bebas tiba di pusat penamaan calon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu dengan menaiki motosikal.
“Pagi ini selepas subuh saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan daripada Allahyarham emak saya, Mak Tom. Ini bukan perkara main-main mahupun gimik.
“Saya percaya ada hikmah yang Allah tunjuk supaya saya tidak bertanding. Arwah Mak Tom selalu datang dalam mimpi saya dan menasihatkan saya jangan bertanding. Tak kisahlah anda kata merepek, tapi saya dengar suara emak saya.
“Saya minta maaf sebab terlalu ramai penyokong yang inginkan saya bertanding. Jadi maafkan saya, hajat anda tidak kesampaian,” katanya.
Dalam pada itu, Azwan menyatakan sokongannya kepada calon Parlimen Gombak, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
“Saya menyokong penuh PH, tapi jangan tanya kenapa. Biar Amiruddin meneruskan kecemerlangan membangunkan Selangor, ” katanya.
Sementara itu, Azwan turut menafikan penarikan diri berikutan tiada wang pendahuluan, memandangkan calon perlu membayar RM10,000 untuk bertanding.
“Saya memang tiada penaja tapi bukannya saya tiada duit,” katanya. – Malaysiapost