Bahang PRU15 bermula, proses penamaan calon jadi tumpuan

Bahang PRU15 bermula, proses penamaan calon jadi tumpuan

TEPAT jam 9 pagi hari ini bermula proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menandakan gendang ‘perang’ sudah dipalu.

Tidak kurang juga menyifatkan PRU15 sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ berikut wujudnya pelbagai gabungan parti politik baharu yang turut mengambil bahagian.

Keadaan berbeza dengan pilihan raya umum (PRU) sebelum ini yang memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih gabungan utama parti dalam negara, sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU kali ini, setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya empat penjuru antara BN, PH, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Diramalkan beberapa kerusi panas bakal menjadi tumpuan ia termasuk Parlimen Tambun, Sungai Buloh, Bandar Tun Razak, Gombak, Pasir Salak, Kuala Selangor, Sepang, Shah Alam, Titiwangsa, Alor Gajah dan Arau.

Dijangka, kerusi lain yang bakal berdepan persaingan sengit ialah Ampang, Bentong, Putrajaya dan Simpang Renggam.

Untuk proses penamaan calon hari ini, sebanyak 222 pusat penamaan calon di seluruh negara bermula 9 hingga 10 pagi.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan tiga negeri iaitu Perak, Pahang dan Perlis dipertandingkan.

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Enam negeri masing-masing tiga di bawah PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta tiga negeri di bawah PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN.

Sabah, Melaka dan Johor di bawah pentadbiran BN tidak membubarkan DUN masing-masing kerana tidak mencapai tempoh matang selepas pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 2020-2022.

Manakala Sarawak pula telah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada Disember tahun lepas.

Seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan layak mengundi.

Selain itu, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara, turut layak mengundi.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 bermula hari ini selepas pengisytiharan calon yang bertanding berakhir pada 11.59 malam, 18 November.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal berlangsung pada 15 November ini. – Malaysiapost

Komen