Berkempen di media sosial, Zahida mohon sokongan jentera BN Padang Besar

Berkempen di media sosial, Zahida mohon sokongan jentera BN Padang Besar

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan yang menggunakan platfom media sosial sebagai medium berkempen, memohon sokongan warga kawasan itu agar teguh bersama BN.

Ketua Puteri Umno itu berkempen menerusi media sosial bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan masih dalam edah selepas kematian suami pada 20 Ogos lalu

“Dalam keadaan masih dalam edah saya membataskan pergerakan diri ketika berkempen bagi mematuhi perintah syarak yang diajar kepada saya.

“Saya memikul amanah yang diberikan parti untuk mengukuhkan bilangan kaum hawa dalam dewan pembuat dasar negara iaitu Parlimen Malaysia,” katanya menerusi hantaran video, hari ini.

Zahida bagaimanapun menegaskan perjuangan politiknya tidak semata-mata memfokuskan wanita tetapi ianya adalah amanah untuk membawa suara seluruh warga Padang Besar.

“Saya insaf perjalanan saya tidak akan kemana-mana tanpa sokonga seluruh warga Padang Besar.

“Saya sedar ini masa perlu mengenal setiap segi keluhan, gaya hidup kesantunan, makanan, keperluan rakyat di sini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Zahida mengakui memerlukan masa untuk mempelajari dan menyusun langkah terbaik yang menjalankan tanggungjawab berkhidmat untuk warga Padang Besar.

Katanya, sehubungan itu beliau memohon tunjuk ajar dan sokongan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari BN.

“Ajarlah saya, didiklah saya. Saya bergantung harap pada seluruh jentera parti Barisan Nasional Padang Besar khususnya Umno.

“Terutama rakan-rakan di cawangan, penyelaras DUN dan juga kepimpinan jawatankuasa Umno Bahagian, sayap-sayap Wanita, Puteri-Puteri. Penat lelah kalian adalah kekuatan saya.

“Tidak ketinggalan kumpulan komponen dari MCA dan MIC.

“Sekali lagi, dengan rendah diri saya Zahida Zarik Khan. Calon nombor empat mohon sokongan undilah Barisan Nasional,” katanya.

Zahida diumumkan calon BN Parlimen Padang Besar menggantikan penyandang yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri.

Pada PRU14, Zahidi memenangi kerusi Parlimen Padang Besar dengan majoriti 1,438 menerusi pertembungan tiga penjuru melawan calon PKR, Izizam Ibrahim dan Pas, Mokhtar Senik. Zahidi mendapat sebanyak 15,032 undi manakala Izizam 13,594 dan Mokhtar 7,874 undi. – Malaysiapost

Komen