Ebit Lew lawat wanita koma dipukul suami

Ebit Lew lawat wanita koma dipukul suami

PENDAKWAH dermawan, Ebit Lew menziarahi wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, yang sudah setahun berada dalam keadaan koma.

Dalam hantaran Facebook, Ebit memaklumkan Jahidah disyaki menjadi mangsa dera suaminya ketika mengandung enam minggu.

Katanya, kini anak Jahidah yang diberi nama Eshan Nufail kini sudah berusia 11 bulan.

“Syukur beliau dijaga adiknya. Hadir memberi sedikit semangat dan sumbangan. 

“Allahuakbar kasihannya sehingga otaknya dan tulang belakang, tulang rusuk teruk cedera. Beliau tinggal di Negeri Sembilan. Lamanya masih teruk keadaannya. Mata dah buka tapi belum bercakap dan memberi respon lagi,” kata Ebit.

Dalam masa sama, Ebit memberi sumbangan kepada Jahidah termasuk beberapa barangan bayi iaitu kererta sorong bayi dan kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Masa saya berdoa dan bercakap beliau hanya memandang. Allahuakbar beratnya ujianmu seorang ibu. Ujian kerana Allah sayang. 

“Allah akan tinggikan darjatmu begitu tinggi InsyaAllah. Setiap yang berbuat baik dan buruk pasti akan di balas disana nanti. Tidak akan ada satu kezaliman yang akan terlepas. 

“Semoga puan cepat sihat. Semoga anak ini dapat berbual-bual dan bersama ibunya. Kes ini dalam proses mahkamah,” ujarnya lagi.

Kisah Jahidah yang juga seorang penjawat awam tular selepas koma ketika sarat mengandung akibat kecederaan serius pada kepala dan tengkorak disyaki dipukul suaminya.

Mangsa kini di bawah jagaan adiknya di Sendayan yang turut bertanggungjawab membesarkan Ehsan Nufail, anak lelaki kepada Jahidah. – Malaysiapost

Komen