Eizlan sempat habiskan penggambaran filem sebelum ke pusat penamaan calon 

Eizlan sempat habiskan penggambaran filem sebelum ke pusat penamaan calon 

CALON Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah logo Pejuang, Datuk Seri Eizlan Yusof sempat menghabiskan penggambaran filem Kerambit, sebelum bergegas ke pusat penamaan calon Parlimen Sabak Bernam di Dewan Tun Razak, pagi tadi.

Eizlan tiba di pusat penamaan calon ditemani isteri, Datin Sri Natasha Rosa Boudville, rakan-rakan dan penyokong, pada jam 8.30 pagi, iaitu kira-kira dua jam selepas selesai penggambaran.

Eizlan berkata, komitmen dengan projek filem Kerambit arahan Riza Baharuddin perlu ditunaikan, namun, proses penamaan calon juga tidak boleh dipandang ringan.

“Kebetulan babak semalam adalah terakhir, jadi bolehlah saya fokus kepada hari ini (proses penamaan calon) kerana membabitkan amanah rakyat demi bangsa dan negara,” katanya.

Ditanya perasaan kali pertama mendaftar sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Eizlan berkata ia bercampur baur, ada rasa berdebar dan pada masa sama, teruja.

“Saya tidak mahulah terlalu teruja. Saya lihat langkah pertama ini (penamaan calon) suatu tanggungjawab buat saya untuk membawa amanah rakyat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Eizlan berharap penduduk Sabak Bernam dapat memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat kepada mereka.

Kertas pencalonan Eizlan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 9.05 pagi tadi.

Eizlan atau nama sebenar, Idris Md Yusof berdepan Abd Rahman Bakri iaitu calon Barisan Nasional (BN); Shamsul Ma’arif Ismail (Pakatan Harapan) dan Kalam Salan (Perikatan Nasional). – Malaysiapost

Komen