Ismail Sabri akan fokus lebih banyak pembangunan di Bera

Ismail Sabri akan fokus lebih banyak pembangunan di Bera

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ingin mencurahkan lebih banyak bakti kepada penduduk di Parlimen Bera termasuk membawa pelbagai pembangunan dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 2004 itu, berpendapat Bera masih memerlukan suntikan kemajuan untuk memastikan kehidupan rakyat lebih selesa berbanding sebelum ini.

“Bera bukan bandar raya seperti Kuala Lumpur, bermakna banyak lagi pembangunan yang perlu dibangunkan.

“Kalau kita tengok masyarakat Orang Asli, walaupun di Bera masyarakat Orang Asli lebih maju dari tempat-tempat lain tetapi ada kawasan kampung Orang Asli yang terpencil yang memerlukan pembangunan supaya mendapat kehidupan lebih baik.

“Selain itu dari segi infrastruktur juga boleh dipertingkatkan serta mempelbagaikan peluang pekerjaan, kerana ramai yang pendapatan mereka adalah penoreh getah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai proses penamaan calon bagi P090 Parlimen Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Terdahulu dalam proses penamaan calon di parlimen berkenaan, Ismail Sabri mewakili Barisan Nasional (BN) bakal ditentang calon dari Perikatan Nasional (PN)  Datuk Asmawi Harun dan calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno menyifatkan tiada istilah ‘menang mudah’ di kawasan dipertahankannya itu walaupun berdepan dengan dua pencabar baharu.

“Walaupun saya yakin boleh menang di Parlimen Bera, namun jentera BN di sini serta semua kawasan seluruh negara tidak boleh ambil mudah. 

“Fokus sekarang adalah saya menang di Bera dan BN juga menang dan boleh membentuk kerajaan. Itu yang lebih penting.

“Kalau saya menang di Bera (tetapi) parti kalah seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tidak ada makna… Jadi parti mesti menang dan menguasai kerajaan,” tegasnya.

Pada PRU-14, Ismail Sabri menang di kerusi Bera dengan majoriti 2,311 undi menewaskan calon PKR, Zakaria Abdul Hamid yang memperoleh 18,449 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman mendapat 8,096 undi.

Sementara itu, Ismail Sabri juga optimis BN mampu mencapai kemenangan pada PRU-15 dan seterusnya membentuk serta menjadi parti dominan dalam kerajaan, menerusi kerja keras dan kesepakatan daripada jentera semua parti komponen.

“Tak kisah berapa penjuru, jika kita bekerja keras untuk kemenangan dan mood rakyat kita boleh menang dengan tambahan kerusi, seterusnya membolehkan kita membentuk kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen