Ismail Sabri sah berdepan tiga penjuru di Parlimen Bera
PARLIMEN Bera menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili BN, manakala Abas Awang dan Asmawi Harun masing-masing mewakili PH serta PN.
Calon bertanding menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.
Lebih 1,000 penyokong semua parti bertanding berkumpul di pekarangan dewan bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing.
Sementara itu, Ismail sabri menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan sorakan luar biasa penyokong menjadi semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia yang mahukan kemakmuran di bawah pemimpinan BN.
“Pagi yang penuh bersemangat bersama lautan biru Barisan Nasional Bera untuk penamaan calon P.090 Bera, bersama-sama dengan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, DUN Triang dan DUN Kemayan.
“Gema sorakan luar biasa yang ditampilkan bukan sahaja menjadi pembakar semangat tetapi aspirasi Keluarga Malaysia yang mahukan kestabilan dan kemakmuran di bawah payung Barisan Nasional,” katanya dalam hantaran itu.
Seramai 77,669 pengundi akan menunaikan tanggungjawab 19 November depan.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Bera disandang Ismail Sabri sejak 2004. – Malaysiapost