“Itulah semangat BN” – Ismail Sabri
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memahami kekecewaan yang dirasai penyandang-penyandang Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak dinamakan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau bagaimanapun terharu dan berterima kasih dengan semangat beberapa bekas calon berkenaan yang tidak merajuk berpanjangan, sebaliknya berkempen membantu penggantinya.
“Itulah semangat BN dan setiap kali pilihan raya akan ada ‘casualities’, akan ada yang digugurkan dan akan ada muka-muka baharu.
“Tak puas hati dan kecewa itu tak boleh dipersalahkan kepada sesiapa..siapa yang digugurkan akan berasa kecewa, tetapi yang lebih penting adalah dua tiga hari selepas itu kembali kepada BN,” katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon Parlimen Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.
Menurutnya, sesiapa yang ingin bertanding tujuannya adalah sama iaitu untuk memastikan BN menang dan apa yang penting adalah parti, bukan individu.
“Siapa nak bertanding pastikan yang bertanding itu BN bukan individu kerana yang penting parti.
“Di Bera bukan Ismail bertanding tapi BN. Jika prinsip itu akhirnya kita akan kembali kepada parti dan sebagai ahli parti kita mesti memastikan parti menang dalam PRU.
“Sebab itu saya berterima kasih dengan rakan-rakan yang tergugur, walaupun saya juga kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku, sebab saya memahami dan tidak menyalahkan mereka kalau ada yang beremosi,” katanya.
Dalam pilihan raya umum kali ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan 10 penyandang Parlimen membabitkan Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid dan Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Turut digugurkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; dan Parlimen Maran, Datuk Seri Abdul Muttalib.
Pengerusi BN Selangor yang juga penyandang Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut menerima nasib sama. – Malaysiapost