‘Kita orang rakyat’ jadi tema kempen Lando

‘Kita orang rakyat’ jadi tema kempen Lando

‘KITA orang rakyat’ menjadi tema Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, tindakannya terjun ke kancah politik adalah untuk membantu rakyat dan memperbetulkan sistem yang ada dalam membela nasib rakyat.

“Semua orang tahu saya bukan orang politik, tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik, tetapi orang kenal saya. Mereka menyokong saya dan kita menyokong apa yang baik untuk rakyat.

“Kita bukan orang parti, kita orang rakyat. Hidup pejuang, mati berbaloi. Jika sempat tua kita ada cerita. Allahuakbar,” katanya dalam klip video di Facebook hari ini.

Pengasas Ikatan Silaturahim Bro­therhood (Brotherhood) itu adalah calon Gerakan Tanah Air (GTA) di Parlimen Tanjong Karang.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon di Dewan Dato Hormat, Tanjong Karang, Mohd Raiz Radzuan mengumumkan saingan lima penjuru
bagi kerusi Parlimen berkenaan.

Lando akan berentap dengan Mohd Rosni Mastol (Bebas), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (PN), Siti Rahayu Baharin (PH) dan Datuk Habibah Mohd Yusof (BN).

Penyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar tidak bertanding kali ini berikutan digugurkan di saat akhir. – Malaysiapost

Komen