Mat Sabu jawab insiden ‘koyak’

Mat Sabu jawab insiden ‘koyak’

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu tampil memperjelaskan insiden ‘koyak’ dan perang mulut setelah diprovokasi penyokong Barisan Nasional (BN).

Penyandang Parlimen Kota Raja itu turut mengucapkan terima kasih kepada polis kerana mengawal situasi tegang itu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pagi tadi.

Mohamad yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen berkenaan mendakwa, penyokong BN memaki hamunnya pada hari penamaan calon di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam.

“Ketika saya mahu pergi berjumpa ke kem penyokong PH, saya kena melalui di hadapan kem penyokong BN yang memaki hamun teruk kepada saya. Saya anggap itu biasa.

“Kemudian dapat panggilan dari dalam dewan katanya ada urusan yang belum diselesaikam dengan SPR. Jadi saya kena lalu sekali lagi depan kem penyokong BN,” katanya dalam klip video di aplikasi TikTok.

Mohamad berkata, apabila teruk dimaki, beliau mengeluarkan perkataan secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa.

“Apabila lalu, mereka maki saya sekali lagi dengan teruk. Saya pun jawab, Najib dah kena jail, Najib dah kena jail, Rosmah akan kena jail.

“Saya jawab secara umum dan tidak tuju kepada sesiapa,” katanya.

Bekas Menteri Pertahanan mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana berjaya mengawal situasi daripada menjadi lebih teruk lagi seperti pergaduhan atau rusuhan.

Video Mohamad Sabu dimaki hamun penyokong BN kini viral di media sosial.

“Mat Sabu penipu, PH penipu, PH kencing, 22 bulan kencing,” laungan penyokong BN kepada Mohamad Sabu.

Turut tular klip video yang memaparkan beliau bertengkar dengan penyokong BN ketika keluar daripada pusat penamaan calon.

Bagaimanapun pertengkaran itu tidak membabitkan sebarang sentuhan fizikal selepas pihak berkuasa membawa Mat Sabu masuk semula ke dewan penamaan.

Parlimen Kota Raja menyaksikan pertembungan lapan penjuru termasuk tiga calon Bebas.

Turut diumumkan sebagai calon, Mohamed Diah Baharun (PN), D Kajendran (BN), Sarah Afiqah Zainol Arif (Parti Rakyat Malaysia) dan Fahmi Bazlan Muda (Pejuang), manakala tiga calon Bebas, P Raveentharan, S Surendhar serta K Kumar. – Malaysiapost

Komen