PRU15: 6 borang pencalonan ditolak – SPR
ENAM borang penamaan calon ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada proses penamaan, hari ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata jumlah itu adalah empat di peringkat Parlimen dan dua di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR, beliau memberitahu tiada kerusi yang menang tanpa bertanding untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Bagaimanapun, Abdul Ghani tidak memperincikan butiran senarai kerusi-kerusi yang telah ditolak borang mereka.
Laporan media hari ini mengatakan tiga borang pencalonan ditolak antaranya calon Pakatan Harapan (PH), Manolan Mohamad bagi kerusi DUN Kemayan.
Penolakan pencalonan Manolan tersebut disebabkan beliau beralamat luar Pahang mengakibatkan pencalonannya ditolak.
Borang calon Gabungan Tanah Air (GTA) bagi DUN Pulau Manis, Pahang Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak juga ditolak.
Manakala, satu lagi adalah borang pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony bagi Parlimen Tenom.
Abdul Ghani berkata, Parlimen Batu menyaksikan pertembungan calon paling ramai iaitu sebanyak 10 orang.
“Manakala bagi pertandingan di Dewan Undangan Negeri menyaksikan pertandingan paling tinggi di N.47 Chenderiang, Perak iaitu tujuh penjuru.
“Untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.66 Bugaya, Sabah turut menyaksikan pertandingan tujuh penjuru lagi,” katanya. – Malaysiapost