PRU15: Azmin berdepan saingan 5 penjuru di Gombak
PENYANDANG Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan saingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berdepan saingan kuat dari Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.
Selain itu, Azmin turut berdepan Ketua Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN).
Calon lain di kerusi itu ialah Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan menggunakan logo Parti Pejuang, Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.
Keputusan pencalonan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Gombak, Wan Norazlina Abdul Aziz di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu hari ini.
Pagi tadi, pengacara sensasi Azwan Ali yang juga adik Azmin mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Gombak sebagai calon Bebas.
Bagaimanapun, Azwan yang lebih dikenali sebagai Diva AA itu membatalkan hasratnya pada saat akhir selepas didakwa mendengar bisikan arwah emaknya, Mak Tom.
Sebelum ini, Azmin memenangi kerusi Gombak atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN, Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan PAS, Khairil Nizam.- Malaysiapost