PRU15: Empat bekas pendidik bersaing di Hulu Terengganu

PRU15: Empat bekas pendidik bersaing di Hulu Terengganu

PARLIMEN Hulu Terengganu menyaksikan persaingan antara empat bekas pendidik merebut kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Rosol Wahid; Datuk Rozi Mamat (Barisan Nasional) dan Alias Ismail (Pakatan Harapan) merupakan bekas guru.

Manakala calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Pejuang, Mohd Khadri Abdullah pula pernah bertugas sebagai Pensyarah di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P038, Adnan Abdullah mengumumkan keempat-empat calon berkenaan sah bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada jam 10.55 pagi.

Lebih 5,000 penyokong calon BN, PN, PH dan Pejuang yang bertanding dalam PRU15 hadir di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu bermula jam 8 pagi.

Mohd Khadri tiba pada jam 8.10 pagi diikuti Alias lima minit kemudian.

Rosol pula tiba pada jam 8.20 pagi dan Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong pada jam 8.55 pagi.

Pada PRU14, PAS memenangi enam daripadanya lapan kerusi Parlimen di Terengganu, manakala BN pula dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya, Rosol keluar Umno selepas PRU14 dan menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memenangi kerusi Hulu Terengganu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid dan Datuk Razali Idris yang merupakan calon Bersatu ketika itu. – Malaysiapost

Komen