PRU15: Kimanis berdepan saingan 5 penjuru, Tuaran 6 penjuru
PRU15: Kimanis berdepan saingan 5 penjuru, Tuaran 6 penjuru
PARLIMEN Kimanis menyaksikan saingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Pejuang Tanah air (Pejuang).
Mohamad Alamin mewakili BN, Dr Daud Yusof (Warisan), Yusop Osman (Pejuang), Rowindy Lawrence Odong (PH) dan Amat Mohd Yusof (KDM)
Kehadiran Yusop turut mengejutkan ramai pihak yang sebelum ini menjangkakan Datuk Seri Anifah Aman akan menjadi pencabar di Parlimen itu.
Media sebelum ini menyatakan kemungkinan Anifah mengintai peluang untuk bertanding kerusi di parlimen Kimanis pada PRU15 dengan tiket Parti Cinta Sabah (PCS).
Bagaimanapun, Anifah tidak hadir pada hari penamaan calon.
Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mempunyai 40,763 pengundi berdaftar.
Sementara itu, kerusi Parlimen Tuaran menyaksikan persaingan enam penjuru antara calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PH, Warisan, Pejuang dan dua calon Bebas.
Pertembungan tersebut melibatkan Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Datuk Wilfred Madius Tangau (PH), Jo-Anna Sue Henly Rampas (Warisan), Muminin Kalingkong (Pejuang), Nortaip Suhaili (Bebas), dan Boby Lewat (Bebas).
Apa yang menarik di Tuaran apabila menyaksikan ketiga-tiga calon iaitu Joniston; Jo-Anna Rampas dan Madius Tangau berasal dari Kiulu.
Dalam perkembangan sama, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony sah tidak bertanding di kerusi Parlimen Tenom pada PRU15.
Dilaporkan hanyalima calon secara rasmi tersenarai bertanding di kerusi berkenaan. Ia antaranya melibatkan penyandang kerusi berkenaan, Noorita Sual (PH).
Turut memberi saingan di Parlimen Tenom ialah calon BN iaitu Jamawi Jaafar, Ukim Buandi (Warisan); serta dua calon Bebas masing-masing Riduan Rubin dan Peggy Chaw Zhi Ting. – Malaysiapost