PRU15: Kota Raja dan Sepang, pertembungan 8 penjuru 

PRU15: Kota Raja dan Sepang, pertembungan 8 penjuru 

DUA Parlimen di Selangor, Kota Raja dan Sepang masing-masing menyaksikan pertembungan lapan penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Di Parlimen Sepang, kesemua calon yang bertanding hadir menyerahkan pencalonan masing-masing, di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, sebaik sahaja pusat penamaan dibuka.

Mereka yang bertanding ialah calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun yang bakal ditentang hebat Anuar Basiran mewakili Barisan Nasional (BN), Raj Muni Aiman Athirah (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Nageswaran Ravi (Parti Rakyat Malaysia).

Turut bersaing ialah calon dari Parti Pejuang Tanah Air, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan Datuk Mohd Daud Leong Abdullah dari Parti Utama Rakyat.

Selain itu, dua lagi individu wakil sebagai calon Bebas ialah Mohd Syahrul Amri Din Mat Sari dan Muneswaran Muthiah sebagaimana diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRU15 P113 Sepang, Datuk Abdul Hamid Hussain pukul 11 pagi.

Sementara itu, di Parlimen Kota Raja,  Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau dikenali Mat Sabu dicabar D Kajendran (BN), Mohamed Diah Baharun (PN), Fahmi Bazlan Muda (GTA) dan Sarah Afiqah Zainol (PRM).

Turut mencabar Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) itu adalah tiga calon bebas yang masing- masing adalah P Raveentharan, S Surendhar dan K Kumar.

Pengumuman itu dibuat Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kota Raja, Mohd Rashidi Ruslan.

Mat Sabu ketika ditemui media selepas pengumuman itu menganggap satu proses demokrasi dalam PRU.

“Meriah demokrasi. Bagi saya tiada masalah (untuk pertahankan kerusi),” katanya. – Malaysiapost

Komen