PRU15: Parlimen Alor Setar lakar sejarah pertembungan tujuh penjuru 

PRU15: Parlimen Alor Setar lakar sejarah pertembungan tujuh penjuru 

BUAT julung kali Parlimen Alor Setar menyaksikan pertembungan calon terbanyak iaitu tujuh penjuru melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan dan dua calon bebas.

Calon PAS yang bertanding atas tiket PN, Afnan Hamimi Taib Azamudin mendahului proses penghantaran borang pencalonan yang bermula pukul 9 pagi di Kompleks Dewan Belia dan Sukan.

Ia diikuti calon Pejuang yang juga cucu saudara Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat; Datuk Fadzil Hanafi (Warisan); Tan Chee Hiong (BN) dan Simon Ooi Tze Min (PH).

Dua calon bebas yang turut berentap ialah Datuk Nordin Yunus dan Sofan Feroza Md Yusup.

Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd Yusri Md Daud mengumumkan pihaknya menerima secara rasmi tujuh pencalonan berkenaan setelah proses penamaan ditamatkan pada pukul 10 pagi.

Kesemua calon berkenaan dan penyokong mereka berkumpul di pekarangan kompleks berkenaan seawal 8 pagi sambil membawa bendera gabungan masing-masing.

Pada PRU14, Parlimen Alor Setar dimenangi oleh Chan Ming Kai daripada PKR setelah mengalahkan calon BN, Yoo Wei How dan Aminur Shafiq daripada PAS dengan majoriti 15,200 undi. – Malaysiapost

Komen