PRU15: Radzi yakin mampu tamatkan dominasi ‘beraja’ BN di Putrajaya
DATUK Dr Radzi Jidin yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) yang ‘beraja’ di Parlimen Putrajaya sejak empat penggal lalu.
Radzi yang juga calon PN Putrajaya, berkata dengan gerak kerja yang tersusun beliau penuh yakin gabungan itu mampu mencipta #EraBaharuPutrajaya pada malam 19 November ini.
“Alhamdulillah, saya secara rasmi disahkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Putrajaya.
“Proses pertama telah selesai. Sekarang masa untuk kita bekerja. Dampingi dan kenalilah setiap warga Putrajaya. Jelaskan kepada saudara, rakan-rakan kita mengapa mereka perlu memilih PN,” katanya menerusi Facebook.
Dalam masa sama, Radzi turut berterima kasih kepada semua pendokong PN yang hadir memberikan sokongan kepadanya pada penamaan calon hari ini.
Selain itu, beliau memohon kepada penduduk Putrajaya untuk memberi peluang kepadanya mengemudi Parlimen itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Laksanakanlah tanggungjawab saudara, rakan-rakan sebagai pengundi sebaiknya dan buatlah pilihan dengan jiwa yang tenang dan penuh sedar. InsyaAllah, kita mampu mengubahnya,” katanya.
Radzi bakal berdepan tentangan enam penjuru termasuk penyandang kerusi itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PKR) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang). – Malaysiapost