PRU15: Saya sokong penuh Manndzri – Dr Adham
PENYANDANG kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba memberikan sokongan penuh terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Biarpun tidak dicalonkan semula kali ini, katanya, sebagai Ketua Umno Bahagian Tenggara, sokongan tetap diberikan kepada calon yang dipilih pucuk pimpinan parti iaitu Manndzri Nasib.
“Saya orang parti. Saya berpandangan adalah penting untuk pemimpin berjiwa besar dan menyokong calon muka baharu dalam memastikan kemenangan BN,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata beliau akan bersama-sama jentera sepanjang PRU15 dan mendoakan supaya pengundi terus memberi kepercayaan kepada calon BN.
Dr Adham yang menyandang kerusi Tenggara digugurkan daripada senarai calon BN untuk PRU15.
Penyandang kerusi Tenggara selama dua penggal itu menang di Parlimen tersebut pada PRU14 yang lalu dengan jumlah majoriti sebanyak 5,993. – Malaysiapost