PRU15: ‘Saya tidak akan tinggalkan BN’ – Noh Omar
KETUA Umno Bahagian Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar memberi jaminan akan tetap bersama Barisan Nasional (BN) walaupun namanya digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Noh berkata, walaupun tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan Parlimen Tanjung Karang, namun beliau tidak akan bertanding dengan tiket parti lain sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kesetiaannya.
“Saya orang parti, takkan lah parti yang banyak berjasa saya nak lawan. Saya masih setia dengan BN dan saya akan teruskan parti saya.
“Saya tidak akan meninggalkan BN. Inilah prinsip yang dipegang untuk terus kekal setia,” katanya menerusi kenyatan di Facebook.
Justeru, Noh berkata, beliau memasang harapan untuk melihat calon BN memperoleh kemenangan khususnya di Selangor.
Noh berkata, beliau akan membantu kempen BN untuk memastikan gabungan itu menang di Selangor.
“Sebagai ketua (negeri), saya mahu menang di Selangor. Kami akan melakukan tahap yang terbaik. Saya yakin Tanjong Karang akan kekal sebagai kerusi BN,” katanya.
Terdahulu, Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor digugurkan daripada senarai calon gabungan itu pada PRU15.
Untuk rekod, Noh merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak 1995.
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,970 undi, menewaskan calon PAS dan PKR. – Malaysiapost