Reezal Merican bertanding empat penjuru di Kepala Batas

Reezal Merican bertanding empat penjuru di Kepala Batas

PARLIMEN Kepala Batas menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), dan Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mewakili BN, Dr Siti Mastura Mohamad (PN), Hamidi Abu Hassan (GTA), dan Danial Abdul Majeed (PH).

Reezal Merican sekali lagi diamanahkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dengan majoriti 4,736 undi.

Beliau yang berpakaian baju Melayu biru tiba diiringi lebih 3,000 penyokong ke pusat penamaan calon, tepat jam 9 pagi tadi.

Sementara itu, Reezal Merican menzahirkan rasa syukur telah menyempurnakan penamaan calon Parlimen Kepala Batas bagi PRU15, dan diumumkan sebagai calon keempat.

“Dengan penuh rendah hati, saya sekali lagi menawarkan diri untuk mengkhidmati keluarga Kepala Batas, meneruskan legasi, sejarah terbilang Parlimen ini.

“Demi masa hadapan yang lebih gemilang, Kepala Batas dan Barisan Nasional, ikatan panjang yang terpatri sekian lamanya di tanah disulami kasih dan sayang ini, perlu dipertahankan,” katanya dalam hantaran Facebook sebentar tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga mengajak warga Kepala Batas bersama-sama mempertahankan parlimen itu di bawah pimpinan BN.

“Ayuh Keluarga Kepala Batas, kita bersama menggembeleng tenaga dan usaha agar Kepala Batas yang berdaya huni, maju dan mampan akan terus kita pertahankan di bawah panji Barisan Nasional, demi Kepala Batas. InsyaAllah,” katanya. – Malaysiapost

Komen