Sah KJ berentap 7 penjuru di Sungai Buloh

Sah KJ berentap 7 penjuru di Sungai Buloh

Najamuddin Mohd Nor

KHAIRY Jamaluddin sah secara rasmi bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Calon Barisan Nasional (BN) itu diumumkan oleh Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama enam calon yang lain sekali gus menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di Parlimen berkenaan.

Khairy akan berentap dengan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk R Ramanan, Mohd Ghazali Md Hamin (PN); Mohd Akmal Mohd Yusoff (GTA); Ahmad Jufliz Faiza (PRM), dan dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long dan Sifu Linda.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh disifatkan kubu kuat PH kerana telah memenanginya dalam tiga pilihan raya umum sejak 2008.

Khairy yang tidak mempertahankan Parlimen Rembau kerana memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding, mempertaruhkan nasibnya sekali gus merampas kembali Parlimen Sungai Buloh daripada PH. 

Terdahulu Khairy tiba di pusat penamaan calon, Dewan Kenanga Kompleks Pejabat Daerah Petaling, Subang Bestari pada jam 8.55 pagi. 

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi R Sivarasa daripada PKR dengan majoriti 26,634.

Pada PRU14 lalu, daftar pemilih untuk Parlimen Sungai Buloh adalah 90,707 dan jumlah itu bertambah menjadi 158,090 bagi PRU15. – Malaysiapost

Komen