Sorakan ‘katak’ tak beri apa-apa makna – Hamzah
CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan sorakan ‘katak’ yang dilemparkan kepadanya tidak memberi kesan dan menganggap ia perkara biasa dalam politik.
Penyandang kerusi Parlimen Larut yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berkata, pengundi tempatan lebih mengetahui apa yang sudah dilakukan di kawasan berkenaan selama ini.
“Itu perkara biasa dalam pilihan raya dan sorakan itu tidak beri apa-apa makna kepada saya.
“Jika mereka kata saya pengkhianat, sebenarnya mereka lupa apa yang saya buat selama ini adalah untuk rakyat dan bukan untuk diri saya sendiri,” katanya ditemui selepas penamaan calon Parlimen Larut di Pejabat Tanah dan Daerah Selama, hari ini.
Beliau mengulas tindakan penyokong BN yang menyerangnya dengan sorakan ‘katak’ sejurus keluar dari bangunan pusat penamaan calon pagi tadi.
Penyandang tiga penggal kerusi Parlimen Larut itu bagaimanapun kelihatan tenang dan tersenyum sambil melambai tangan ke arah kem penyokong BN.
Beliau berkata, terdapat calon dan wakil rakyat parti lawan datang memeluknya dan mengucapkan terima kasih terhadap jasanya di kawasan itu.
Menurutnya, selepas kerajaan PN memberikan kuasa semula, BN dilihat semakin sombong dan bongkak sehingga lupa rakyat melihat dan menilainya.
“Jika nak cari alternatif untuk menyedarkan mereka, tiada lain hanyalah PN yang akan mengambil alih semuka kuasa itu,” katanya.
Pada PRU14, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon PAS, Abu Husin Mohamad dan calon PKR, Khairil Anuar dengan majoriti sebanyak 4,486 undi.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri itu keluar Umno dan menyertai Bersatu, pada 2019.
Pada PRU kali ini, Hamzah berdepan saingan empat penjuru membabitkan Mohd Shafiq Fhadly Mahmud daripada BN, Zolkarnain Abidin (PH) dan Auzaie Fadzlan Shahidi (GTA). – Malaysiapost