Suami Salamiah Hassan meninggal dunia
SELEPAS dua bulan mendirikan rumah tangga, suami kepada penyanyi veteran Salamiah Hassan, Gerry Hughes, 68, dilaporkan meninggal dunia pagi semalam.
Berita sedih itu disahkan anaknya yang juga penyanyi Atilia Haron, hari ini.
“Kami sekeluarga menerima berita pemergian Gerry Hughes pada Jumaat pagi dan mama sedang dalam perjalanan ke Tasmania, Australia.
“Kami harap semua dapat memberikan masa untuk kami meratapi pemergian yang mengejutkan ini. Al-fatihah,” katanya.
Menurut Atilia, dia tidak dapat berkongsi punca kematian Allahyarham kerana masih menunggu perkembangan daripada ibunya.
“Nanti bila mama sampai rumah sana saya maklumkan. Saya nak tunggu mama sampai Tasmania untuk maklumkan kepada kami. Mama berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri undangan persembahan,” katanya.
Terdahulu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Gelombang dan Menghitung Hari itu melangsungkan pernikahan dengan Hughes yang berasal dari Liverpool, England pada 1 September lalu.
Salamiah dan Hughes yang juga kenalannya sejak 15 tahun lalu dinikahkan dalam majlis sederhana di Burnie, Tasmania.
Salamiah hidup sendirian kira-kira 35 tahun lalu selepas berpisah dengan Allahyarham suaminya, Raja Haron Raja Aziz sejak 1986.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Atilia dan Raja Ahmad Shah.
Allahyarham Raja Haron meninggal dunia pada 28 Julai lalu akibat masalah jantung. – Malaysiapost