Tian Chua bertanding Bebas di Parlimen Batu

Tian Chua bertanding Bebas di Parlimen Batu

BEKAS Naib Presiden PKR,  Tian Chua akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau dilihat hadir di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, pada jam 8.30 pagi sambil diiringi oleh penyokongnya yang berpakaian putih.

Ia sekali gus menamatkan khabar angin bahawa beliau akan bertembung dengan wakil partinya sendiri iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu, P Prabakaran.

Pada PRU14, Tian Chua hilang kelayakan untuk mempertahankan Parlimen Batu apabila pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Ia menyebabkan Pakatan Harapan (PH) ketika itu membantu gerak kerja dan memberi sokongan kepada Prabakaran yang bertanding sebagai calon bebas.

Dengan bantuan daripada PH, Prabakaran berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu dengan jumlah majoriti undi sebanyak 24,438 dan mengalahkan pencabarnya ketika itu daripada Barisan Nasional (BN), Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Difahamkan Parlimen Batu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Selain Tian Chua,  peguam dan aktivis kontroversi, Siti Zabedah Kassim turut bertanding di kerusi itu sebagai calon Bebas.

Calon lain, Prabakaran (PH), Azhar Yahya (PN) dan Datuk Seri Yew Teong Look (BN). – Malaysiapost

Kredit Foto: Malaysia Gazette

Komen