Timbalan Presiden Bersatu Kelantan tanding calon Bebas

Timbalan Presiden Bersatu Kelantan tanding calon Bebas

KEJUTAN berlaku di pusat penamaan calon Parlimen Bachok hari ini apabila Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria diumum bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau akan menghadapi saingan lima penjuru di Parlimen Bachok yang turut ditandingi calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Syahir Che Sulaiman; Nkr Azmiza Mamat dari Pakatan Harapan (PH), Kamarul Azam Osman dari PUTRA dan Datuk Mohd Zain Yasin dari Barisan Nasional (BN).

Mohd Zulkifli menjelaskan, faktor anak jati Bachok menjadi kekuatan untuk beliau tampil di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Daerah, di Kota Bharu hari ini.

“Tindakan saya bukan kerana parti tidak memilih saya sebagai calon atau kecewa, sebaliknya kita mahu calon di Parlimen Bachok adalah penduduk tempatan.

“Setiap kali PRU15, calon yang datang adalah calon luar dan sebaik mereka menang, mereka akan meninggalkan kawasan.

“Atas dasar itu dan sokongan pengikut saya, saya tampil untuk bertanding sebagai calon Bebas memandangkan saya adalah anak tempatan dan berasal di Kampung Tawang,” katanya kepada Malaysiapost.

Ditanya sama ada beliau mampu merampas kerusi itu memandangkan Parlimen tersebut adalah kubu kuat PAS, Mohd Zulkifli berkata sekurang-kurangnya beliau berusaha.

“Insya-Allah saya bukan keseorangan. Saya mempunyai pengikut yang agak ramai memandangkan selama ini saya dan rakan-rakan yang membantu penduduk dalam kesusahan.

“Menang kalah adat bertanding namun sekurang-kurangnya saya berusaha demi penduduk Bachok yang ramai di kalangan mereka hidup susah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata semua jawatan yang dipegang Mohd Zulkifli dalam parti gugur secara automatik. – Malaysiapost

Komen