Tun M calon tertua bertanding pada PRU15
TUN Dr Mahathir Mohamad melakar sejarah baharu negara apabila menjadi individu paling berusia bertanding dalam Pilihan Raya Umum.
Bekas Perdana Menteri yang kini berusia 97 tahun itu secara rasminya telah diumum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.
Malah, Dr Mahathir yang bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA) juga merupakan calon tertua yang bertanding pada PRU15 ini.
Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang berkata, Fuaddin Kamaruddin, 70, dari Pejuang menjadi calon tertua yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun), Kubu Gajah.
“Bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, Sabah, calon paling tua adalah Karil Pg Kurani berusia 76 tahun, bertanding mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)
“Peggy Chaw Zhi Ting, berusia 23 tahun menjadi calon termuda untuk kerusi Parlimen.
“Di kerusi Dun pula, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Syahmi Suhaimi, 23 tahun, bertanding di Dun Tambun Tulang, manakala Dun Bugaya, calon bebas, Jufazli Shi Ahmad, 33,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Ghani berkata, sejurus tamatnya tempoh penamaan calon pada jam 10 pagi, sebanyak 1,392 kertas penamaan dikemukakan oleh pelbagai parti dan individu yang akan bertanding dalam PRU15 dan PRK Dun Bugaya, Sabah.
“Ia membabitkan 949 di Parlimen, 436 di Dun dan tujuh di Dun Bugaya,” katanya.
Jelasnya, bagi bilangan penjuru menyaksikan pertandingan dua penjuru di sembilan Parlimen dan satu Dun; tiga penjuru (54 Parlimen, 51 Dun); empat penjuru (82 Parlimen, 47 Dun); lima penjuru (43 Parlimen, 12 Dun); enam penjuru (24 Parlimen , empat Dun); tujuh penjuru (lima Parlimen, satu Dun); lapan penjuru (tiga Parlimen); sembilan penjuru (satu Parlimen) dan 10 penjuru (satu Parlimen).
“Dun Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru,” katanya.
Beliau berkata, mengikut jantina, seramai 818 calon lelaki dan 127 calon wanita bertanding di Parlimen, di Dun ( 375 lelaki, 59 wanita) manakala di Dun Bugaya (enam lelaki dan satu wanita). -Malaysiapost