Zahid ziarah kubur ayah, bonda sebelum ke penamaan calon
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempat meluangkan masa menziarahi pusara ayah dan bondanya sebelum ke penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, pagi ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang memakai jubah berwarna putih dilihat meluangkan masa membaca surah Yasin bersama adik beradiknya.
“Pagi ini, saya bersama adik beradik berkesempatan menziarahi pusara ayahanda dan bonda.
“Al Fatihah,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Zahid yang mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datoh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 8.15 pagi.
Beliau yang juga Presiden Umno bersama penyokongnya berkumpul sebelum berarak ke pusat penamaan calon.
Pada PRU14 Zahid menang dengan majoriti 5,073 undi selepas mendapat 18,909 undi menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) yang memperoleh 13,836 undi dan calon PAS, Ata Abdul Muneim Hasan Adli (4,061 undi). – Malaysiapost