Abg Jo tolak PN kerana Muhyiddin mungkir janji

Abg Jo tolak PN kerana Muhyiddin mungkir janji

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menolak untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) selepas parti itu telah mengkhianati janji yang telah dipersetujui antara parti.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata parti berkenaan sebelum ini telah mengikat perjanjian untuk tidak mengganggu pilihan raya di Sarawak, namun bertindak sebaliknya selepas itu.

“Mereka minta saya tolong, minta GPS tolong dan saya memberi sokongan.

“Sebab itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjadi Perdana Menteri ketika itu dan saya sudah memberitahu bahawa Sarawak jangan diganggu (pada pilihan raya).

“Namun pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, ada datang (PN) melawan GPS dan semalam (penamaan calon) mereka (PN) datang lagi,” katanya seperti dilapor Utusan Borneo.

Beliau berkata demikan semasa menyempurnakan Program Sarawakku Sayang bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ di Dewan Serba Guna Engkilili, hari ini.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak memberitahu bahawa tiada masalah untuk bertanding dalam pilihan raya berikutan negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Cakap tidak serupa bikin. Saya tiada masalah dalam demokrasi namun (tetap) pegang pada janji.

“(Ini) janji tidak dipegang lebih-lebih lagi ia merupakan parti dari Semenanjung, percaya atau tidak anda dengan orang macam ini?” soalnya.

Tegasnya, GPS tidak akan berkompromi dengan parti sedemikian dan akan terus menentangnya sekiranya bertanding di Sarawak.

“Saya tidak berkompromi, awak datang kita lawan demi untuk anak-anak dan masa depan kita di Sarawak kerana kita ada semangat Rentap,” tegasnya.

Ditanya mengenai undi GPS merupakan undi untuk Umno, Abang Johari terus menepis dakwaan berkenaan.

“Undi GPS adalah undi untuk GPS. Di sini (Sarawak) tiada Umno mahupun BN yang datang namun ada parti yang tidak kenang budi.

“Waktu Pilihan Raya Negeri dia masuk bertanding dan apabila dia sudah masuk dia cuba buang balik nama dalam senarai.

“Kita ada budi dan orang kata ada padi ada beras ada budi ada balas,” sindir beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gedong.

Sementara itu, Abang Johari turut berpesan agar masyarakat di Engkilili bijak memilih pemimpin di kawasan terbabit.

Jelasnya, sekiranya GPS memimpin kawasan tersebut ia akan memudahkan urusan pembangunan yang akan dirancang.

Komen