Annuar, Noh pemimpin ‘giant’ kekal setia walau gugur, puji Shahril

Annuar, Noh pemimpin ‘giant’ kekal setia walau gugur, puji Shahril

KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan memuji sikap berjiwa besar dua pemimpin ‘giant’, Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar, yang digugurkan sebagai calon, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah berkata, kedua-dua mereka telah membuktikan kesetiaan dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kehendak individu.

“Saya ingin melahirkan penghargaan kepada mereka yang tidak buat begitu (tanding tiket parti lain selepas tak dicalonkan semula) khususnya kepada Annuar, Noh yang mana dalam kekecewaan mereka…kita lihat betapa mereka adalah orang parti,

“Saya harap suatu hari nanti bila saya lebih dewasa saya boleh mencontohi tindakan sebegitu meletakkan parti di hadapan, berbanding cita-cita peribadi dan individu.

“Ini dua ‘giant’ bukan calang-calang orang yang tidak dinamakan sebagai calon tetapi mereka tetap setia dengan parti,” katanya malam tadi.

Mengulas tindakan bekas wakil rakyat Umno yang bertanding atas tiket parti lain, beliau berkata, keahlian mereka secara automatik gugur.

Ditanya, tindakan BN menerima bekas wakil rakyat PAS bertanding atas tiket gabungan itu, Shahril berkata, ia merupakan keputusan dan strategi parti.

Annuar dan Noh antara beberapa bekas wakil rakyat digugurkan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen pada PRU15.

Sementara itu, diminta mengulas peluang menang di Alor Gajah, Shahril berkata ia bukan masalah besar memandangkan beliau kerap turun ke Melaka, dan ahli keluarganya juga berasal dari negeri itu.

“Mereka (Calon PN dan PH) ada banyak bertemu dengan rakyat memang cabaran untuk saya, saya hadir sebagai orang baharu dalam kawasan Alor Gajah, saya harap mesej saya dan tawaran kempen saya dapat menggamit hati pengundi,” katanya. – Malaysiapost

Komen