Asyraf janji ‘waqafkan’ jiwa raga kepada rakyat Gerik jika menang
CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tekad akan ‘mewaqafkan’ sepenuh jiwa raganya untuk rakyat di Parlimen itu sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda Umno itu berkata, sebagai ‘orang baru’ di Gerik, beliau berjanji akan memikul amanah jika diberi mandat dipilih menjadi wakil rakyat pada 19 November ini.
“Saya berjanji sebagai orang yang baru diterima, sebagai keluarga besar Gerik ini, Insyallah kalau… saudara-saudara, tuan-tuan dan puan-puan melihat trek rekod saya, kalau saya diberikan amanah saya akan pastikan menjunjung amanah ini.
“Kalau diberikan amanah dan mandat oleh saudara-saudara, tuan-tuan dan puan-puan dan rakyat Gerik, saya berjanji Gerik akan menjadi sebahagian daripada darah daging saya bermula daripada hari ini.
“Saya kalau dipilih dan diberikan amanah oleh rakyat Gerik saya akan mewaqafkan sepenuh jiwa raga saya kepada rakyat Gerik,” katanya dalam klip video di Facebook miliknya.
Sebelum ini, ‘kedatangan’ Asyraf ke Gerik mendapat tentangan kuat daripada jentera Umno Bahagian Gerik yang menolak orang luar bertanding di kerusi yang disifatkan selamat untuk BN itu.
Bagaimanapun isu itu dapat diselesaikan dalam suasana kekeluargaan dan harmoni sekali gus merestui kehadiran Asyraf untuk menjadi calon BN bertanding di Parlimen Gerik.
Asyraf akan berdepan dalam saingan tiga penjuru di Parlimen Gerik yang membabitkan calon Perikatan Nasional (PN) Fathul Huzir Ayub dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam dari Pakatan Harapan (PH). -Malaysiapost