Ban pecah, Tanjong Karang dinaiki air setinggi 1 meter

Ban pecah, Tanjong Karang dinaiki air setinggi 1 meter

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memindahkan tujuh sekeluarga di pekan Tanjong Karang, selepas rumah mereka dilanda banjir awal pagi tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata semua mangsa dipindahkan ke rumah keluarga terdekat selepas kawasan itu termasuk Pasar Awam Tanjong Karang dinaiki air setinggi kira-kira satu meter pada jam 4.10 pagi.

Beliau berkata, banjir berlaku susulan kejadian ban pecah yang menyebabkan berlaku limpahan air Sungai Kajang, di sini.

“Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.07 pagi dan sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dihantar ke lokasi kejadian.

“Pada mulanya, air Sungai Kajang melimpah ke sekitar pekan Tanjong Karang namun tidak membabitkan rumah penduduk sekitar.

“Bagaimanapun, pada jam 5.24 pagi, bomba mendapati air naik hingga ke paras satu meter di sekitar kawasan Pasar Awam Tanjong Karang,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, JBPM Selangor melakukan dua pemindahan membabitkan tujuh sekeluarga termasuk seorang wanita warga emas berusia empat hingga 70 tahun.

“Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita di mana semua mereka dipindahkan ke kawasan tidak dinaiki air iaitu Jalan Kilang Padi.

“Pada jam 6.13 pagi, didapati air mula menunjukkan trend penurunan. Bagaimanapun, bomba masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian,” katanya.

Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan kejadian ban pecah berlaku di dua lokasi sekitar Tanjong Karang. – Malaysiapost

Komen