Berapa kali nak jatuh ke dalam ‘lubang’ sama?

Berapa kali nak jatuh ke dalam ‘lubang’ sama?

RAKYAT kini sudah matang dan sedar mengenai fitnah yang mengatakan Barisan Nasional (BN) adalah parti rasuah dan tidak akan sekali lagi ‘termakan’ dengan fitnah dan cerita yang sama.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N37 Guai, Datuk Sabariah Saidin berkata, kesedaran itu disuarakan rakyat susulan pengalaman dipimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Saya rasa rakyat kini sudah faham bahawa fitnah mengatakan BN sentiasa ditaburkan terutama pada musim pilihan raya bagi mengaburi orang ramai.

“Rakyat kini semakin matang terutama membabitkan pengalaman selama 22 bulan diperintah (PH) membuatkan mereka muak dengan fitnah dan cerita yang sama. Itulah pembangkang yang sentiasa memburukkan parti lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program sembang santai bersama penduduk Seberang Guai, malam tadi sempena bermulanya kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.

Sabariah berkata, pengalamannya sebagai Ketua Wanita Umno Bahagian Bera dan melalui tinjauan serta maklum balas mendapati rakyat sudah matang dan fitnah-fitnah terhadap BN akan berlaku begitu sahaja.

“Jadi jangan termakan dengan hasutan fitnah dan janji palsu daripada pembangkang.

“Pengalaman 22 bulan sudah mengajar kita. Berapa kali nak jatuh ke dalam ‘lubang’ sama? Itu kesilapan pertama, jadi dah silap jangan lakukan kesilapan sama lagi

“Ramai rakyat yang ditemui mengakui kesilapan kerana menyangkakan PH pilihan terbaik, namun mereka kini akan memilih untuk kembali kepada BN,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai visinya jika dipilih mewakili rakyat di Guai, beliau berazam mengekalkan kecemerlangan BN di DUN berkenaan.

“Sebenarnya DUN Guai selama ini memang cemerlang jadi saya berazam untuk mengekalkan kecemerlangan BN di Guai

“Bera khususnya DUN Guai bukanlah bandar macam Kuala Lumpur dan bandar besar lain, maka saya akan cuba membangungkan kawasan dan ekonomi masyarakat di Guai terutama golongan muda,” katanya. – Malaysiapost

Komen