Cuti umum Ahad, Isnin jika PN menang – Muhyiddin

Cuti umum Ahad, Isnin jika PN menang – Muhyiddin

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengisytiharkan cuti umum jika parti berkenaan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cuti berkenaan pada 20 November bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Manakala 21 November bagi negeri-negeri lain.

Jelasnya, perkara itu merupakan tawaran tambahan di luar manifesto PN terutamanya kepada pengundi luar dan pihaknya memahami keinginan rakyat untuk mengundi termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain daripada kediaman mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan hari Isnin bagi negeri-negeri lain.

“Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin,” katanya pada majlis pelancaran PN di Shah Alam, malam ini.

Pada majlis sebanyak 234 tawaran merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan ditawarkan PN pada PRU kali ini.

Komen