Ismail Sabri kekal PM jika BN menang – Shahril
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, keputusan kepimpinan tinggi parti itu turut dipersetujui Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau turut menegaskan Umno juga tidak sesekali bercadang untuk mengugurkan mana-mana kes mahkamah sekiranya mereka diberi mandat oleh rakyat pada PRU15.
“Tak ada kena mengena nak gugurkan mana-mana kes mahkamah, jauh sekali nak menamakan calon Perdana Menteri lain selain daripada keputusan parti.
“Nama yang akan diangkat untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong adalah Perdana Menteri sedia ada, Ismail Sabri.
“Itu adalah keputusan parti dan saya yakin seluruh kepimpinan parti termasuk Presiden Umno sendiri sudah berkali-kali bercakap memang inilah keputusan parti yang akan dipatuhi atau pun dibawa,” katanya.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, di sini, malam tadi.
Sebelum ini media melaporkan Umno kekal menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan BN menang PRU15, sekaligus menafikan dakwaan pembangkang yang Zahid akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali memerintah. – Malaysiapost