‘Jenama Zuraida’ cukup berpengaruh tawan Ampang
TIGA penggal menjadi wakil rakyat di Ampang memberi keyakinan kepada penyandang kerusi berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin yang ‘jenama Zuraida’ cukup berpengaruh dan sudah sebati di kalangan pengundi di situ.
Malah Zuraida yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu yakin jenama tersebut mampu untuk memberi saingan sengit sekali gus menumpaskan calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Ampang.
Katanya, kebanyakan penduduk di Ampang sudah mengenali nama Zuraida yang menjadi ‘jenama tersendiri’ dan sedia mengundinya sekali lagi walaupun tidak bertanding di bawah tiket PH.
“Zuraida itu saya sendiri kerana orang nampak saya terbabit secara langsung, turun padang, aktif kerja dalam dan luar negara.
“Selepas dua hari kempen, saya lihat pengundi tidak ada isu dengan saya. Mereka mengenali saya yang yang sentiasa hadir ke rumah memberi pertolongan, aktivis dan sebagainya.
“Saya juga berpengalaman berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri, pengalaman reformasi dan pernah menjadi menteri. Insya-Allah, boleh (mampu menang di Ampang),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Gurdwara Sahib di Ampang, hari ini.
Ditanya mengenai manifestonya kali ini, Zuraida berkata, ia berteraskan enam tonggak iaitu kepelbagaian kaum, pemerkasaan wanita dan belia, pendidikan, teknologi serta ekonomi.
“Saya percaya dalam pendidikan dan akan memperuntukkan RM1 juta daripada peruntukan Ahli Parlimen Ampang untuk sekolah di kawasan ini,” katanya.
Pada PRU14, Zuraida yang bertanding mewakili PH, menang besar dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan calon BN, Leong Kim Soon; Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Tan Hua Meng. -Malaysiapost