Kekecohan di Tenom: Peter ditahan 4 jam bantu siasatan
PRESIDEN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony, ditahan tengah malam tadi susulan insiden kekecohan ketika proses penamaan calon di Dewan DSP Antanom, Tenom, semalam.
Bagaimanapun Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu dibebaskan kira-kira jam 4 pagi tadi.
Idris berkata, pihaknya menerima laporan polis pada hari kejadian dan siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan Presiden PKDM itu.
“Peter ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kira-kira 12 tengah malam tadi di Balai Polis Karamunsing.
“Siasatan dan proses dokumentasi polis berjalan dengan lancar dan Peter diberikan jamin polis pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 24A (2) Akta Pilihanraya 1954 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Semalam, kekecohan berlaku apabila penyokong Peter merusuh di pekarangan Dewan DSP Antanom, Tenom sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.
Kejadian difahamkan berlaku berikutan penyokong PKDM berang apabila borang pencalonan Peter ditolak pegawai pengurus pilihan raya bertugas. -Malaysiapost