Kerajaan stabil jamin pelaksanaan dasar efektif – Shahelmey
PARTI yang mampu menjamin kepada pelaksanaan dasar kerajaan yang efektif perlu terus diberi peluang untuk mentadbir negara ini.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, BN sudah terbukti mempunyai rekod baik menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.
Malah, menurutnya, BN melaksanakan polisi serta dasar membangunkan ekonomi negara secara mapan.
Beliau berkata, parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dilihat hanya bersifat retorik dan bukan benar-benar memperjuangkan hak rakyat.
“Telah terbukti BN mempunyai trek rekod sebagai pentabdir kerajaan yang efisyen dan stabil dengan dasar-dasarnya membantu rakyat.
“Kita telah melalui sejarah hitam apabila kita telah diperintah oleh PH, mereka sesuka hati mengubah janji mereka dengan seperti berkata manifesto bukan kitab suci dan bermacam-macam lagi isu menyusahkan rakyat, “katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ceramah kempennya di Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Putih, hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Umno Putatan, Jeffrey Noor.
Sementara itu, Jeffrey dalam program yang sama menyeru pengundi di Putatan supaya memilih Shahelmey sebagai calon BN dalam menjayakan aspirasi Putatan.
“Sebanyak 71.5 peratus di Putatan ini terdiri daripada pengundi Bumiputera Islam dan kita di Putatan sudah lama meminta kerusi ini diberikan calon Umno.
“Seperti mana yang kita maklum sekarang, banyak janji-janji ditaburkan oleh pihak parti lain seperti PH dan Warisan tetapi hakikatnya, penyampaiannya hanya palsu dan retorik, “katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan bertungkus lumus mengerahkan jentera BN dalam memastikan kemenangan Shahelmey di Parlimen Putatan. – Malaysiapost