Kerjasama BN-PN: ‘Tunggu dan lihat’ – Muhyiddin
TAN Sri Muhyiddin Yassin mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung kenyataan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan sekiranya parti itu tidak memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sebagai Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhak untuk menyuarakan pandangannya.
Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan membabitkan gabungan itu perlu dibincangkan ke peringkat Majlis Pimpinan PN terlebih dahulu.
“Saya nak tunggu dan lihat, sebab ini baru hari pertama bermula. Apa yang berlaku ke hadapan saya tak kata ya atau tidak.
“Pasal ini bukan satu hak bagi diri saya sebagai Presiden Bersatu sebab kita ada PN,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Zahid itu merupakan isu besar yang perlu dibincangkan dengan pemimpin PN.
“Biasa bila ada satu perkara itu kita bincang dalam kalangan pemimpin tertinggi untuk dapatkan satu pandangan yang bukan peribadi kerana ini soal besar,” katanya.
Beliau mengulas laporan di akhbar New Straits Times, yang memetik kenyataan Zahid sedia untuk kerjasama dengan mana-mana gabungan parti sekiranya BN gagal mendapat majoriti mudah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, manifesto PN yang akan dibentangkan hari ini berteraskan tiga perkara iaitu prihatin, bersih dan stabil.
Beliau berkata, jika PN berjaya membentuk kerajaan, gabungan itu akan menunaikan janji manifesto yang dibentangkan itu.
“Kita bukan macam parti lain, janji tetapi tak tunaikan,” katanya. – Malaysiapost