KKM pantau peningkatan Covid-19 sepanjang kempen PRU15
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan terus memantau peningkatan kes Covid-19 sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengekang penularan virus itu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata walaupun kes harian menunjukkan peningkatan, namun keadaan masih terkawal berdasarkan data kemasukan ke hospital masih rendah.
“Setakat ini terkawal, macam Omicron walaupun kes naik tapi kemasukan hospital tidak tinggi dan kadar kematian rendah. Jadi kita anggap ini adalah gelombang jangkitan tetapi tidak berapa teruk,” katanya mengulas peningkatan kes Covid-19 menjelang PRU15.
Dalam pada itu, Khairy berkata KKM telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) PRU15 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, jabatan kesihatan di setiap negeri turut diarahkan untuk menyediakan pegawai kesihatan tambahan bagi membantu pesakit Covid-19 keluar mengundi.
“Kita tidak mahu mereka (pesakit Covid-19) berada di tempat pusat mengundi terlalu lama.
“Pesakit daftar, tunjuk MySejahtera, tidak perlu beratur, mengundi dan terus keluar,” katanya.
Sebelum ini, SPR membenarkan individu positif Covid-19 keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15. – Malaysiapost