Pembangkang terdesak, miskin modal politik pertikai calon PM – Dr Azhar

Pembangkang terdesak, miskin modal politik pertikai calon PM – Dr Azhar

Najamuddin Mohd Nor

PEMBANGKANG mengalami ‘kemiskinan’ modal politik sehingga terpaksa menyibuk hal ‘dalam kain’ parti lain sebagai bahan kempen mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Ketua Umno Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, tidak seperti PRU14 lalu, pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) terdesak dalam mencari modal politik baharu untuk menghasut rakyat membenci Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini. 

Jelasnya, pastinya peneraju parti akan menjadi sasaran lawan dan tidak menghairankan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran sehinggakan seringkali kenyataannya dimanipulasi pembangkang. 

“Pembangkang, PH terutamanya miskin modal, mereka terdesak nak hasut rakyat memburukkan BN. Rakyat dah muak dengan fitnah dan hasutan yang mereka gunakan pada pilihan raya 2018 lalu. 

“Maka dimanipulasi, diputarbelitkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid, banyak kali dah, padahal memang tegas beliau menyatakan calon Perdana Menteri BN ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

“Mereka terpaksa menggunakan cara kempen masuk dalam kain orang lain, mengelirukan rakyat sebab terlalu terdesak apabila momentum BN semakin mendapat sambutan rakyat,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini. 

Umno kekal menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri jika BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun pada awal permulaan kempen PRU15 ini, pembangkang cuba mensensasikan dakyah kononnya calon sebenar Perdana Menteri BN ialah Ahmad Zahid. 

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan dakwaan pembangkang yang beliau akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan melangkaui kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan seorang Perdana Menteri.

Mengulas mengenainya, Dr Azhar yang merupakan Ahli Dewan Negara berkata, perkara ini tidak perlu menjadi isu kerana Umno telah meletakkan ketetapan menerusi Persidangan Agung Umno (PAU) Khas yang memutuskan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU15. 

“Jangan risau dan termakan dengan dakyah, hasutan pembangkang yang sengaja dicipta untuk memecah belahkan Umno dan BN.

“Mereka terdesak, dan takut melihat perpaduan BN semakin solid yang semakin mendapat sambutan rakyat. Mereka cuba kelirukan rakyat yang semakin terpesona dengan cara Ismail Sabri menjadi PM.

“PAU dah tetapkan, MKT pun dah setuju, Presiden pun dah lafazkan, jadi apa isunya lagi, Ismail Sabri pun menunjukkan prestasi yang cemerlang dan terbukti dia calon BN yang paling sesuai jadi Perdana Menteri,” katanya. -Malaysiapost

Komen