Pembinaan stesen ECRL di Puncak Alam tetap diteruskan – Tengku Zafrul
STESEN jajaran utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam akan diteruskan oleh kerajaan selepas ini.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana pembinaan stesen berkenaan sudah diluluskan enam bulan lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pembinaan stesen direalisasikan susulan isu yang pernah dibangkitkan gabungan persatuan penduduk Puncak Alam ketika beliau bertemu penduduk, pada Mei lalu.
“Sebelum ini memang ada dalam perancangan membina stesen ECRL di Puncak Alam tapi belum dilaksanakan. Hasil perbincangan, kita bersetuju untuk meluluskan pembinaannya termasuk beberapa stesen lain.
“Stesen itu akan dibina di kawasan Alam Suria dan sehingga kini (projek) masih diteruskan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian keika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Karnival Sukan Antara Fasa (Sukaf) 2022 di Puncak Alam, hari ini.
Jajaran ECRL itu kelak membabitkan Selangor iaitu Seksyen C akan dibahagikan kepada dua iaitu Seksyen C1 dari Mentakab ke ITT Gombak dan Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah.
Seksyen C2 adalah sepanjang 74.25 kilometer (km) merangkumi empat stesen iaitu Serendah Baru (penumpang dan kargo), Puncak Alam (stesen penumpang), Kapar (stesen penumpang) serta Pelabuhan Klang (penumpang dan kargo). – Malaysiapost