PH gagal sebab Tun M – Anwar
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kegagalan PH mentadbir negara selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Anwar yang juga Pengerusi PKR berkata, tiada perubahan yang dibawakan oleh Dr Mahathir ketika pemerintahan PH selama 22 bulan menyebabkan rakyat mula muak.
“Ketika PH memerintah dahulu, siapa ketua? Siapa Perdana Menteri kalau bukan Tun Mahathir. Tanpa pentadbiran dan pemerintahan yang baik, negara tidak boleh bangkit.
“Selepas itu, ganti pula dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), lagi teruk. Rakyat nak makan pun tak cukup. Ganti pula dengan Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), dia tambah bilangan menteri pula.
“Mereka yang gagal, bawa isu lain pula. Tuduh Anwar, DAP, PH,” katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Belah, Sungai Batu, hari ini.
Menurut Anwar, negara perlu bangkit semula dengan meyakinkan pelabur luar untuk kembali melabur, sekali gus membaik pulih keadaan ekonomi Malaysia.
“Saya akan bawa Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi dunia. Saya yakin kita boleh bangkitkan ekonomi rakyat dengan pemerintahan kerajaan yang baik, tidak curi duit.
“Pilihan raya bukan untuk tukar parti sebenarnya tetapi niat besar kita adalah menyelamatkan Malaysia dan anak-anak kita. Cina, India, Kadazan, Melayu dan sebagainya, semua adalah keluarga kita,” katanya.
Pada PRU14, PH yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah meraih 113 kerusi diikuti BN dengan 79 kerusi.
Namun, pada Februari 2020, PH tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat susulan keputusan Bersatu dan 11 ahli Parlimen PKR untuk keluar gabungan itu. – Malaysiapost