PH mohon maaf, pemilihan Rina satu kesilapan – Khalid Samad
PAKATAN Harapan (PH) memohon maaf kepada pengundi di Parlimen Titiwangsa kerana mencalonkan Datuk Seri Rina Harun mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad yang menjadi calon PH di Parlimen Titiwangsa pada PRU15, berkata pemilihan Rina adalah satu kesilapan kerana telah mengkhianati PH, dan kini meninggalkan pengundi di Titiwangsa.
“Kepada mereka yang mengundi Rina (PRU14), PH terpaksa meminta maaf. Semua orang tahu berlakunya pengkhianatan dan dia sudah meninggalkan kawasan ini.
“Pimpinan menganggap bagus untuk meletakkan saya di sini kerana tiada orang akan pertikaikan, saya takkan lompat dan takkan tinggalkan kawasan,” katanya dipetik Berita Harian.
Pada PRU15, Khalid akan menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani; calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Pilihan raya sebelum ini menyaksikan kerusi Parlimen Titiwangsa dimenangi oleh Rina yang ketika itu mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan Johari dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.
Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bertanding di Parlimen Sepang mewakili PN, pada PRU15.
Sementara itu, Khalid memaklumkan akan memberi tumpuan pada isu pembangunan Kampung Baru sepanjang berkempen di Parlimen Titiwangsa, khususnya membabitkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah penduduk Kampung Sungai Baru.
“Penggunaan akta ini adalah soal merampas tanah orang secara paksa bila mereka tidak setuju dengan harga yang ditawarkan. Ini satu duluan yang perlu dihentikan.
“Saya yakin jika PH kembali berkuasa, mekanisme pengambilan tanah secara paksa dengan harga yang tak dipersetujui pemilik akan dihentikan sama sekali,” katanya. – Malaysiapost