PN umum tawaran PN Best sempena PRU-15

PN umum tawaran PN Best sempena PRU-15

PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan tawaran ‘PN Best’ sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ yang dilancarkan di Shah Alam, malam ini

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN Best merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran, selain pihaknya juga berikrar semua inisiatif Bajet 2023 akan dikekalkan dan ditambah baik untuk semua lapisan masyarakat.

12 tunjang utama itu merangkumi membina ekonomi masa hadapan yang berdaya saing; meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat; membersihkan politik dan tadbir urus; mensejahterakan bumiputera, orang Asli dan semua kaum; memacu pembangunan wilayah dan melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan.

Selain memperkasa elia dan mensejahterakan keluarga muda; mengoptimumkan potensi wanita; membina warga emas yang aktif dan sejahtera; memperkasakan orang kelainan upaya; memperkasakan peneroka Felda dan mentransformasikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

“Ini adalah tawaran-tawaran utama Perikatan Nasional. Tawaran lengkap yang mengandungi semua inisiatif yang akan dilaksanakan terkandung di dalam dokumen Tawaran Perikatan Nasional PN Best yang akan saya lancarkan sebentar lagi.

“Saya ingin tegaskan bahawa Tawaran Perikatan Nasional ini adalah tawaran yang boleh dilaksanakan. Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, GLC dan pihak swasta,” katanya.

Antara tawaran utama PN ialah tumpuan kepada merancakkan ekonomi melalui tabung khas galakan pelaburan sebanyak RM5 bilion dan satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, mensejahtera rakyat termasuk mewujudkan pusat sehenti MyPrihatin untuk semua penyampaian bantuan rakyat.

Memperkenalkan Kad Prihatin Nasional untuk akses perkhidmatan kesihatan, menyediakan perkhidmatan bas dan pusat penjagaan percuma bagi kumpulan miskin dan miskin tegar, serta skim khas bagi pekerja gig, nelayan dan pekebun kecil.

Tadbir urus yang kukuh termasuk dengan melarang sumbangan dana politik dari luar negara, memperkasa pelan antirasuah nasional dan sistem perundangan dan kehakiman syariah serta menubuhkan badan bertindak bencana alam dan perubahan iklim.

PN juga berikrar untuk menyediakan pendidikan yang inklusif termasuk akses internet laju dalam bilik darjah dan bilik guru, dana khas bagi sekolah tahfiz dan agama rakyat serta RM2.5 bilion peruntukan penyelenggaraan sekolah.

Komen