PRU15: Bukan mudah berdepan seorang gergasi di Machang – Wan Ahmad Fayhsal

PRU15: Bukan mudah berdepan seorang gergasi di Machang – Wan Ahmad Fayhsal

CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui bukan mudah menewaskan penyandang kerusi itu yang banyak berjasa kepada masyarakat Machang.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), yakin beliau mempunyai kelebihan berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurutnya, jika diberi peluang beliau mampu memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat Machang.

“Memandangkan saya berdepan seorang gergasi yang juga merupakan pengerusi BN Kelantan, sudah pun menjadi Ahli Parlimen dua penggal di sana, jadi, saya adalah ‘underdog’.

“Sebagai ‘underdog’ calon anak muda saya masih lagi perlu bekerja lebih kuat lagi untuk membuktikan kepada pengundi bahawa saya boleh buat lebih baik berbanding Ahmad Jazlan.

“Beliau (Ahmad Jazlan) mantan Timbalan Menteri Luar Bandar, saya mantan Timbalan Belia dan Sukan, Timbalan Menteri Perpaduan, dari segi pengalaman saya yakin saya boleh tawarkan lebih baik berbanding Ahmad Jazlan,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Parlimen Machang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru masing-masing calon dari BN, PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad Jazlan menang dengan majoriti 2,824 menewasakan calon PAS dan PH.

Ahmad Jazlan memperoleh undian sebanyak 26,076 undi manakala Zulkifli Mamat (23,252 undi) dan Sazmi Miah (5,695 undi).

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata dia mempunyai kelebihan berbanding Ahmad Jazlan untuk menarik sokongan pengundi terutama anak muda.

“Pendekatan yang saya ingin lakukan adalah menawah hati anak muda,” katanya. – Malaysiapost

Komen