Rafizi akan dedah kepincangan PN esok

Rafizi akan dedah kepincangan PN esok

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli bakal mendedahkan lebih banyak kepincangan dan rasuah yang berlaku sepanjang pentadbiran Perikatan Nasional (PN) selama lebih 30 bulan, esok.

Beliau yang juga calon di Parlimen Pandan mendakwa, ia membabitkan kepincangan didalangi Umno, Bersatu dan PAS yang terpalit dengan rasuah bernilai bilion ringgit.

Katanya, parti terbabit asyik cakap keburukan 22 bulan PH (Pakatan Harapan) mentadbir, tetapi beliau ada banyak peluru untuk didedahkan minggu depan.

“Kenapa nak tunggu minggu depan (Isnin)…sebab saya nak bagi mereka tidak tidur malam. Saya tidak dapat apa-apa (dengan pendedahan) jadi bagilah saya buli mereka.

“Biarkan Muhyiddin (Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Zahid (Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) fikir apa yang nak keluar ini,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh, malam tadi.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan beberapa dakwaan antaranya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menerima dokumen sebut harga daripada Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS) sebelum surat lantikan (LOA) kerajaan Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, Rafizi berkata, jangkaan dan bacaan semasa menunjukkan PH mendahului di Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Malah, beliau berkata pihaknya menjangkakan adanya kejutan besar yang akan datang dari Negeri Sembilan.

“Daripada gaya sekarang, Negeri Sembilan sedang mendahului. Kalau ada kejutan besar, ia akan datang dari Negeri Sembilan…maka Tok Mat (Calon BN di Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan) hati-hati kerana Rembau tidak selamat.

“Mereka campak Khairy Jamaluddin ke Sungai Buloh dan Tok Mat (akan) kalah nanti di Rembau, kerana kita nampak ada peningkatan yang baik (dalam) sokongan untuk PH di Negeri Sembilan, lebih baik berbanding pilihan raya sebelum ini” katanya. – Malaysiapost

Komen